Thursday, September 4, 2008

UJIAN GETIR BUAT AWAL

Drama 26 episod yang dihasilkan dengan kerjasama dua negara iaitu Malaysia menerusi Double Vision dan Filipina (ABS-CBN) itu dibintangi pelakon berbakat seperti Heliza AF, Carmen Soo dan Louisa Chong selain dua bintang Filipina, Jericho Rosales dan Kristine Heayes. Lokasi penggambaran membabitkan kedua-dua negara.

Menceritakan detik penggambaran drama itu, Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari berkata ia pengalaman sukar dilupakan.

"Saya menempuh pengalaman ngeri ketika penggambaran berlangsung 28 jam tanpa henti di Filipina. Bayangkanlah dalam masa tiga minggu saya mampu menghabiskan penggambaran sebanyak 60 babak di sana. Lebih 200 kru teknikal dan produksi bertungkus-lumus sepanjang penggambaran berlangsung.

"Sebelum ke sana saya sudah menyiapkan 30 babak lakonan. Tidak timbul banyak masalah walaupun adakala kesukaran untuk berinteraksi. Drama ini menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris berselang-seli bahasa Tagalog dan Inggeris. Jika tiada aral drama ini akan disiarkan di RTM penghujung tahun ini," katanya.

Bercerita lanjut mengenai watak dalam drama itu, teraju utama drama siri Impak Maksima yang membawa watak Amir itu berkata dia seorang ahli perniagaan berjaya yang cuba menawan hati perempuan yang diminatinya namun terpaksa bersaing dengan lelaki lain (Jericho). Amir sangat romantik dan sanggup melakukan apa saja kerana cinta.

Di samping drama itu, dia juga dijangka tampil dalam telefilem, Hati Seorang Lelaki arahan Ahmad Idham. Selain itu program majalah W yang disiarkan setiap Rabu di TV3 meneruskan siarannya untuk musim kedua dan dijangka ditayangkan pada awal tahun depan.

Awal yang menyerlah bakat pengacaraannya menerusi program realiti One In A Million (OIAM) ditemui pada majlis sidang media pelantikannya sebagai duta kad keahlian Dot Red buat tahun kedua di Red Box Ria, Sogo, baru-baru ini. Turut hadir Pengarah Urusannya, Valerie Choo.

Pada majlis itu, pihak penganjur turut memperkenalkan beberapa juadah makanan sempena Ramadan di Red Box, pelancaran Tabung derma untuk Rumah Anak Yatim selain meraikan majlis hari jadi Awal.

Mengulas pelantikan sebagai duta Dot Red itu, Awal berkata dia cukup terharu dan berterima kasih kepada pihak penganjur kerana masih menaruh kepercayaan serta memberi ruang kepadanya menjadi duta kad keahlian itu.

"Kad keahlian ini sungguh praktikal. Ia bukan saja digunakan untuk berhibur, malah membeli barang dan menebus mata ganjaran. Penggunaannya juga semakin meluas," kata Awal.

Dalam perkembangan lain, Awal dijangka meluaskan perniagaan pakaian bersama rakan artis, Dynaz, sepanjang Ramadan ini. Awal yang turut berkecimpung dalam perniagaan butik secara online sebelum ini akan menjual batik shifon sesuai menyambut perayaan di butik pakaian yang beroperasi di Hartamas selain menjual pakaian kasual di bazar Ramadan sekitar The Curve.

Tuesday, September 2, 2008

DRIFT KERETA DI PENTAS TEATER?

SUKAR untuk membayangkan, bagaimana adegan-adegan kereta lumba melakukan potongan tajam dan aksi dalam sebuah pementasan teater di atas Panggung Sari di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur?

Persoalan dan gambaran itu tentunya menarik perhatian ramai di mana ia akan dipertontonkan menerusi pementasan teater Impak Maksima The Musical (IMTM) yang akan dipersembahkan di IB mulai 11 hingga 22 November ini.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani berkata, pementasan dengan konsep teater muzikal seumpama itu merupakan kali pertama dibawakan ke pentas teater yang bertaraf dunia itu.

Katanya, selepas hampir sembilan tahun tidak ada penerbit termasuklah penaja yang berani tampil untuk mengadakan pementasan di IB. Tetapi akhirnya ada juga syarikat yang ada idea seperti itu untuk mementaskan karya mereka di IB.

“Ini juga merupakan kali pertama di IB apabila ada syarikat seperti Goodyear yang sanggup tampil menaja adegan-adegan drift dalam pementasan teater muzikal ini. Sebabnya, selama ini IB pernah mengeluarkan perbelanjaan ratusan ribu ringgit untuk mengadakan sesuatu pementasan teater.

“Sebelum ini P. Ramlee The Musical membelanjakan hampir RM250,000 untuk tujuan promosi dan sebagainya,” katanya pada sidang media IMTM di IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Mohamed Juhari, beliau menyambut baik idea pengarah IMTM iaitu Ahmad Idham yang berani mencuba mengangkat karya itu yang asalnya daripada versi filem dan drama televisyen (TV) kepada genre teater.

Malah, beliau yakin IMTM yang sudah mencipta nama di layar perak dan kaca TV mengisahkan kehidupan muda-mudi menaiki kereta lumba mampu menarik perhatian ramai penonton apabila ia dipentaskan di IB kelak.

Tambahnya, pada April lalu, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyuarakan supaya IB mempelbagaikan, sekali gus mencari kelainan dalam pementasan teater di IB.

“Sebelum ini IB ada juga pentaskan teater untuk remaja tetapi sambutannya masih belum memuaskan. Kebetulan baru-baru ini saya berjumpa Ahmad Idham yang saya kenali sejak 1986 dan dia usulkan kepada saya idea ini.

“Saya yakin para remaja akan menggemari teater muzikal ini. IB ambil naskhah ini kerana banyak adegan yang menarik dan ada mesej-mesej tersendiri serta tidak merosakkan moral para penonton,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mohamed Juhari tidak menafikan bahawa IB telah memperuntukkan sekitar RM50,000 bagi mengubah suai pentas Panggung Sari bagi membolehkan adegan drift kereta di situ dapat dipersembahkan kepada para penonton.

“Ia tidak merugikan IB kerana kemudahan dan set pentas tambahan yang akan kami bina itu boleh digunakan semula pada masa depan. Malah, jangan bimbang kerana kereta yang sedang drift atas pentas tidak akan melantun ke arah penonton,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Idham selaku pengarah pula yakin dan mampu untuk menampilkan adegan-adegan drift kereta di atas pentas IB dengan adanya bantuan tenaga pakar termasuklah daripada syarikat pengeluar tayar Goodyear.

“Saya akan pastikan ada adegan drift kereta lumba atas pentas IB. Ini kerana drift dan rempit merupakan ‘jantung’ IMTM. Itu adalah cabaran utama kami. Saya harap para penonton akan dapat merasai pengalaman dan kepuasan menonton adegan-adegan seperti ini,” katanya.

Selain Ahmad Idham, IMTM turut dibantu oleh Zul Huzaimy Marzuki selaku Penolong Pengarah, Den Wahab (Penyelaras), Cat Farish (Pengarah Muzik), serta diterajui oleh tiga bintang utamanya iaitu Awal Ashaari, Dynaz dan Jue Aziz.

Selain jalan cerita baru, Cat Farish turut diberi tanggungjawab mencipta lagu-lagu yang sesuai termasuklah dari genre rock, hip hop, pop, swing dan rap untuk pementasan tersebut.

“Ada lagu baru dan lama yang dimuatkan dalam IMTM di mana ia sesuai dengan jalan cerita pementasan teater muzikal ini. Cuma untuk versi teater ini saya akan mengubah lagu-lagu yang dinyanyikan oleh semua pelakon termasuklah dalam konsep dialog berlagu,” ujarnya.

IMTM yang akan dibantu oleh Belalang sebagai koreografer utama pementasan ini mengenakan tiket-tiket berharga RM20, RM30, RM50, RM80 dan RM150.

Teater muzikal ini mengisahkan tentang seorang remaja bernama Ayie bersama dua rakan karibnya, Loyai dan Amran yang terbabit dalam sukan kereta haram. Selain berlumba kereta, mereka sering terbabit dalam pergaduhan dan pertaruhan dengan para pelumba lain.

Pakej Berbuka Puasa di Pusat Karaoke Red Box Ria

Red Box Buffet Ramadhan


Sempena kedatangan bulan Ramadan ini, pusat karaoke Red Box Ria akan menyajikan sajian istimewa berbuka puasa hanya RM32++ seorang. Menampilkan sajian sentuhan muhibbah, pelanggan boleh menikmati keenakan masakan daging rendang minang, rebung dengan perut lemak cili api, tempoyak ikan senagin, ayam kelia, kepah dengan sos cream cili, seam seabass dengan sos nyonya, kerabu sotong nangka muda, udang lemon salad, udang bersama kari leaf egg yolk, chicken whole leg with percik dan banyak lagi.


Awal Ashaari, duta dan jurucakap Red Box memperkenalkan juadah kepada media.


Juga disediakan makanan barat seperti lamb rack shoulder with mint souce, beef escolape dan lain-lain.

Sajian pembuka selera seperti keropok, so'on jawa styled salad, bergedil, mixed grill salad dan banyak lagi turut disediakan.

Selain itu, pengunjung juga dapat menikmati pelbagai hidangan pencuci mulut seperti air batu campur, sweet dessert, cendol jagung dan pelbagai jenis kuih muih tradisi Melayu yang menjadi kemestian semasa berbuka puasa.

Penggunaan bilik khas untuk pengunjung selama 3 jam pasti menjadikan waktu berbuka puasa anda lebih selesa.

Red Box menawarkan promosi pakej keluarga dan berkumpulan yang menarik. Pakej untuk 5 orang dikenakan hanya RM170++, 10 orang harganya RM340++, harga pakej 15 orang hanya pada RM490++ dan harga pakej untuk 8 orang hanya pada RM280++ yang begitu menjimatkan.

Promosi ini berlangsung sepanjang bulan Ramadan bermula 1 September 2008 setiap hari bermula jam 6.30 petang sehingga 10 malam. Sebarang pertanyaan atau penempahan, sila hubungi Red Box Ria di talian 03 26947788 atau layari www.redbox.com.my

Kemudahan surau terdapat di tingkat bawah bangunan Sogo untuk mereka menunaikan solat fardhu.

Kunjungi:
Red Box Ria SOGO,
Tingkat 8, KL Sogo, Kuala Lumpur.







AWAL SEDIA PIKUL CABARAN MENYANYI DAN MENARI DALAM IMTM

Awal sedia pikul cabaran menyanyi dan menari dalam IMTM
02-09-2008 10:55:56 AM
oleh WAHIDA ASRANI - Mstar Online

BAGAI 'bulan jatuh ke riba' buat pelakon, model dan pengacara kacak ini apabila dia ditawarkan oleh Ahmad Idham untuk membintangi Impak Maksima The Musical (IMTM) yang bakal dipentaskan di Istana Budaya bermula 11 November hingga 22 November depan.

Akhirnya tercapai jua hasrat Awal Ashaari untuk bergelar penyanyi, meskipun ia hanyalah untuk pementasan teater muzikal itu.

Jejaka yang pernah mencuba nasib di dalam Malaysian Idol musim pertama beberapa tahun yang lalu ini akui, tawaran tersebut memang satu peluang keemasan buat dirinya.

Awal gembira diberi peluang membintangi Impak Maksima The Musical

Walaupun begitu, pelakon berusia 26 tahun ini tidak dapat menyangkal perasaan gementarnya apatah lagi dia bukan sahaja perlu berlakon dan memperlihatkan bakat nyanyiannya, tetapi juga perlu menari.

"Saya memang sudah lama simpan cita-cita untuk menyanyi.

"Cuma saya risau juga kerana kali ini bukan saja menyanyi, tetapi perlu menari juga sedangkan saya memang tidak pernah langsung ada asas menari.

"Tetapi saya anggap ini satu cabaran dan saya sedia pikul tanggungjawab yang diberikan oleh Idham. Lagipun, bukan mudah untuk beraksi di pentas Istana Budaya.

"Apa yang boleh saya katakan, saya berjaya mencipta sejarah tersendiri dalam pencapaian karier seni saya kerana saya sudah terlibat di dalam filem, drama dan kini berjaya memasuki teater pula.

"Saya akan cuba lakukan yang terbaik atas bimbingan Idham dan Penolong Pengarah, Zulhuzaimi kerana dia memang lebih arif tentang bidang teater. Dari segi tarian pula, seorang koreografer, Belalang, akan membimbing kami.

"Saya dan pelakon-pelakon lain juga akan berlatih vokal dengan Zaf dan Lah VE tidak lama lagi," ujar Awal pada majlis pelancaran IMTM di Istana Budaya, baru-baru ini.

Setakat ini, selain Awal yang akan memegang watak sebagai Ayie, dua pelakon lagi yang bakal membintangi teater tersebut ialah ialah Jue Aziz (Eva) dan Dynaz (Mimi) manakala Cat Farish bertindak selaku Pengarah Muzik teater tersebut.

Teater muzikal terbitan Excellent Pictures dengan kerjasama IB dan Global Network Entertainment ini secara ringkasnya mengisahkan tentang remaja bernama Ayie bersama dua rakan karibnya yang sentiasa terjebak di dalam sukan permotoran drift dan sering terlibat di dalam perlumbaan haram.

Selain Awal, dua pelakon lagi yang akan menjayakan IMTM ialah Jue Aziz dan Dynaz

Mengulas lanjut tentang persediaannya untuk pementasan tersebut, kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia yakin tempoh tiga bulan latihan yang telah pun bermula kira-kira tiga minggu lalu mampu menyiapkan dirinya untuk teater tersebut.

"Ada juga saya cuba berlatih di rumah. Insyaallah, jika latihan dibuat dengan penuh kesungguhan, saya rasa saya boleh lakukan. Buat masa ini, saya juga kena banyak bersenam untuk tingkatkan stamina.

"Bukan mudah untuk berlakon, menyanyi dan menari pada masa yang sama jika stamina tidak tinggi.

"Malah, sepanjang tiga bulan ini saya memang akan fokuskan kepada teater ini saja dan hanya beberapa hosting jobs," kata Awal yang sedang menantikan tayangan dua buah filem lakonannya iaitu Malaikat Maut dan Syurga Cinta.

Tiket untuk menyaksikan Impak Maksima The Musical ini boleh didapati dengan menghubungi 03-4026 5558. Tiket-tiket berharga RM20, RM30, RM50, RM80 dan RM150.

Sunday, August 31, 2008

Sekitar Pelancaran Teater Impak Maksima The Musical

Dari drama ke filem... menggegarkan panggung... dan dari filem pula diusung ke pentas Panggung Sari, Istana Budaya... Impak Maksima The Musical, ada lakonan, tarian dan nyanyian. Bagaimana senario yang akan dipertontonkan?

Pada 28 Ogos 2008, hari Khamis yang lalu telah berlangsung sidang media Impak Maksima The Musical di kamar Seri Nilam, Istana Budaya.



Bakal dipertontonkan kepada masyarakat pada 11 November hingga 22 November 2008, bakal memberikan kelainan. Bayangkan, bagaimana sukan drift diimplementasikan di pentas paling moden di Malaysia ini. Khabarnya, kereta drift turut berderum di pentas ini dan untuk itu, satu lapisan tar untuk membolehkan kereta berpusing akan dibina. Ianya memakan perbelanjaan yang besar dan ini akan ditanggung oleh Excellent Pictures yang bekerjasama dengan Istana Budaya dan Global Network Entertainment Sdn Bhd.

Sidang media ini telah mengumumkan Zul Huzaimy Marzuki sebagai penolong pengarah, Cat Farish sebagai komposer, Belalang (peserta So You Think You Can Dance) sebagai koreografer, Den Wahab sebagai penyelaras dan Ahmad Idham sebagai pengarah.


Zulhuzaimy, dari pelakon ke penolong pengarah teater.


Selain itu, tiga orang pelakon utama telah diperkenalkan kepada media iaitu Awal Ashaari sebagai Ayie, Dynaz dan Jue Aziz.

Budiey ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelakon terpilih. Terutama kepada Awal Ashaari dan Dynaz, pelakon drama paling popular ABP yang pertama kali beraksi di pentas teater. Jue Aziz pernah berlakon teater sebelum ini. Jadi, rasanya tidak ada masalah. Kebanyakan pelakon mengakui bahawa teater banyak memberi panduan dan platform untuk membina karakter untuk menjadi pelakon berkarisma.

Ketika segmen khas pelancaran teater ini, Budiey terpegun melihat formasi drift yang dipertontonkan. Ini pertama kali Budiey menyaksikan gimik pelancaran dibuat di luar dewan Istana Budaya. Juga digabungkan dengan tarian ala muzikal oleh para pelakon dan penari.







Sinopsis Teater Muzikal Impak Maksima The Musical
Teater ini mengisahkan seorang remaja bernama Ayie (lakonan Awal Ashaari) bersama dua rakan karibnya iaitu Loyai dan Amran yang sentiasa terjebak di dalam sukan permohonan drift. Mereka obses dan gemar serta terlibat dengan lumba haram. Saingan utama Ayie ialah Ray dan mereka bersaing untuk bergelar jaguh Drift jalanan.

Seperti jalan cerita dalam drama dan filem, dalam teater ini juga, Ayie dan Loyai adalah pelajar di kolej swasta. Amran adalah seorang mat rempit dan bekerja sebagai mekanik di bengkel Adam.

Suatu hari, ketika kemasukan pelajar baru, Ayie telah bertemu dengan Eva Lyana seorang freshie yang cukup popular. Malangnya Eva tidak berminat dengan Ayie. Namun, Ayie tidak berputus asa dan berusaha sedaya upaya untuk memikat hati Eva.

Apa yang tidak diketahui oleh Ayie ialah Eva sebenarnya adik kepada Ray yang sentiasa mengawasi pergerakan adiknya. Apabila Ray mendapat tahu yang Ayie sering mengganggu Eva, Ray bersemuka dengan Ayie. Di situ berlaku pergaduhan dan Ayie dibelasah dengan teruk. Eva simpati dan dari situ bermula bibit cinta antara Ayie dan Eva. \

Satu hari, Eva didatangi seorang gadis bernama Mimi. Kehadiran Mimi memeranjatkan Eva sebab Mimi memperkenalkan dirinya sebagai kekasih Ayie. Eva kecewa. Ayie cuba menjelaskan keadaan sebenar pada Eva bahawa Mimi adalah bekas teman wanita dan mereka hanya kawan sahaja.

Ayie cuba bertemu Eva tetapi malangnya Ray yang hadir. Sekali lagi, Ray memberi amaran kepada Ayie supaya menjauhi adiknya. Kali ini Ayie mencabar semula Ray untuk berlumba dengannya dan kalau dia kalah, Ayie tidak akan mengganggu Eva lagi. Ray bersetuju dan mereka telah menetapkan satu tarikh.

Siapa yang menang perlumbaan ini? Dapatkah Ayie mengamit semula cinta dari Eva? Segalanya terjawab dalam teater arahan Ahmad Idham ini.

Tiket berharga RM20, RM30, RM50, RM80 dan RM150 akan dijual tidak lama lagi. Jangan lupa untuk mendapatkannya.



Untuk gambar lain, sila layari:

http://budifoto.blogspot.com

Wednesday, August 20, 2008

Gambar Sekitar Sambutan Hari Jadi Awal Ashaari di Red Box

Semalam, 20 Ogos 2008 bertempat di Red Box Sogo, satu sambutan Hari Jadi Awal Ashaari telah diraikan bersama dengan wartawan dan warga Red Box.

Kepada Awal, tidak terlewat untuk mengucapkan Selamat Hari Jadi.

Awal Ashaari

Awal Ashaari

Awal Ashaari

Awal Ashaari

Sunday, July 27, 2008

WATAK IRHAM DIKECAM

PENAMPILAN berjubah, berserban dan bertindik dalam filem Cinta Syurga mengundang padah kepada Awal Ashaari. Sejak gambarnya dengan penampilan itu disiarkan sebuah akhbar (bukan terbitan NSTP), hidup anak muda ini bingit dengan kecaman.

Bukan sekadar panggilan telefon, keadaan dihangatkan lagi dengan kritikan pedas yang menular luas di Internet. Turut terpalit sama nama baik keluarganya.

Bagi mengelak keadaan makin buruk, Awal tampil ke depan menjelaskan kedudukan sebenar. Tegasnya, semua ini salah faham.

Tidak ada sebesar hama pun niatnya mahupun pengarah atau penulis skrip filem menyinggung perasaan masyarakat, apatah lagi memperlekeh agama.

“Penampilan itu sekadar tuntutan watak. Seperti saya jelaskan sebelum ini, watak Irham buta agama. Dari kecil dia menetap di London dan apabila kembali ke tanah air, dia menyahut cabaran rakan memikat gadis kuat pegangan agama lakonan Heliza AF.

“Dalam usaha itu dia berdepan pelbagai cabaran, termasuk mengubah penampilannya. Dalam satu babak dia yang terbiasa dengan cara hidup Barat memakai jubah tetapi masih bertindik kerana tidak tahu hukum hakam.

“Dan, ketika penggambaran babak itu dilakukan ada media datang ke lokasi dan mengambil gambar saya. Sehari selepas gambar berkenaan disiarkan, keluar kontroversi saya jahil agama dan macam-macam lagi tanggapan negatif.

“Ahmad Idham selaku pengarah filem turut berdepan situasi serupa. Tiba-tiba saja perkara ini diperbesar-besarkan sampaikan ibu bapa saya lenguh menjawab pertanyaan saudara mara dan jiran tetangga,” katanya di Balai Berita, baru-baru ini.

Jelas Awal, dia sedar sensitiviti masyarakat tetapi tidak adil kesimpulan dibuat berdasarkan satu gambar. Baginya, ada sebab mengapa dia berpenampilan sebegitu, bukan sekadar suka-suka atau ‘hentam kromo’.

“Sepanjang lebih tiga tahun dalam industri, saya tidak pernah mempersenda agama atau berniat menyinggung perasaan orang ramai.

“Bagi saya, isu ini tidak perlu diperbesar-besarkan. Niat produksi sebenarnya baik, ingin membuka mata penonton bahawa di luar sana ada lagi yang cetek agama sepertimana Irham.

“Penonton akan faham apabila menonton filem ini. Untuk makluman semua, ada dialog peringatan lelaki tidak boleh memakai subang dalam babak itu.

“Sebenarnya saya tidak kisah dikritik, sebaliknya menerima teguran itu dengan terbuka. Namun jauh di sudut hati sedikit kecewa kerana orang dalam industri yang sepatutnya faham situasi ini turut sama menghentam.

“Seingat saya, perkara ini dijelaskan dalam sidang akhbar sewaktu memperkenalkan barisan pelakon Cinta Syurga. Kalau ikutkan, dalam Malaikat Maut pun saya bertindik tapi kali ini lebih sensitif kerana berjubah dan berserban,” katanya memohon pengertian ramai.

Tambah pelakon meningkat naik ini, istilah serik tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Seburuk manapun dikecam, dia pasrah dan melihatnya daripada sudut positif. Baginya sudah lumrah anak seni, pasti ada manis dan pahitnya.

“Seboleh mungkin saya mahu elak kontroversi. Namun apa boleh buat, ada yang cepat melatah lalu menuding jari ke arah saya tanpa mengkaji terlebih dulu. Tindakan mereka seolah-olah sudah membaca skrip filem ini.

“Apapun, diharap dengan penjelasan ini orang tidak tersalah sangka lagi. Sekali lagi ingin saya tegaskan penampilan itu hanya untuk menggambarkan kecetekan ilmu agama seorang remaja.

“Ada mesej yang ingin disampaikan, diharap penonton menerimanya apabila ditayangkan kelak,” katanya yang sekarang berkampung di Filipina selama dua minggu untuk menyambung penggambaran filem Time For Us yang turut dibintangi Jericho Rosales dan Carmen Soo.