Saturday, June 21, 2008

Ahmad Awaluddin Ashaari - AWAL

Mengakui meletakkan ‘lima perkara’ yang wajib dicapai dalam hidup, Awal bagaimanapun lega tiga daripadanya sudah berhasil. Katanya, dia jenis orang sentiasa memastikan apa diidam tercapai walaupun sedar ia memerlukan masa agak lama.

Berusia 26 tahun, Awal berkata permulaan pembabitan dalam karier glamor diceburinya berlaku di pentas peragaan sebagai model ‘catwalk’. Namun, bosan dengan aksi sama digayakan, Awal teringin pula muncul di televisyen apabila dia pernah menjadi pembaca berita di saluran 8TV sebelum bergelar pelakon.



“Selepas itu, terbit di hati hendak jadi pengacara. Sekali lagi, tidak sangka dimakbulkan Tuhan apabila meraih peluang mengacarakan program hiburan, Beat TV di Astro Ria. Kemudian, apabila tonton drama, teringin pula hendak jadi pelakon.

“Boleh dikatakan, macam-macam saya hendak buat dan sekarang menanti peluang berlakon teater. Manalah tahu, berhasil. Bagaimanapun, impian menyanyi tetap utama walaupun setakat ini masih tidak nampak bakat itu benar-benar terserlah.

“Apa yang jelas, saya berjaya dalam bidang pengacaraan dan lakonan. Bahkan, syukur kepada Tuhan apabila rezeki mengacara dan berlakon tidak putus diterima,” katanya membawa watak Irham dalam filem baru, Syurga Cinta terbitan MIG Production Sdn Bhd.

Menyentuh soal kariernya, Awal berkata dia sebenarnya memasang impian mahu menjadi sehebat pengacara terulung tanah air, Aznil Nawawi. Katanya melihatkan kejayaan selebriti popular itu, dia mengangkat Aznil sebagai mentornya dan bercita-cita mahu berjaya seperti lelaki itu.

“Apabila seseorang itu sudah berjaya, secara tidak langsung kontroversi yang pernah ditimbulkan ditolak ke tepi. Bagi saya bukan mudah menjadi terbaik dan diharapkan biarlah suatu hari nanti diri ini mampu menjadi ‘No 1′ seperti diraih Aznil.

“Disebabkan itu, saya nekad memastikan lima perkara (karier) disasarkan ini berjaya dicapai sebelum memilih hanya satu untuk diceburi dengan serius. Bukan apa, saya melihat Aznil sangat berjaya sebagai pengacara dan lakonannya juga agak baik.

“Itu yang saya mahukan dalam hidup ini. Oleh itu, saya tidak sesekali menoleh ke belakang kecuali memandang jauh ke depan kerana kembara hidup perlu diteruskan,” katanya menyifatkan Aznil, individu bijak membawa diri dan boleh berdikari di mana saja berada.

Ditanya berapa tahun dia menetapkan sasarannya dicapai, anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur ini memaklumkan kemungkinan apabila usianya mencecah 29 tahun. Akuinya, mana tahu dalam dua atau tiga tahun ini semuanya akan menjadi kenyataan.

“Kini, senang cakap semua bidang yang saya ceburi ibarat eksperimen untuk mengatur strategi sebelum berjaya. Saya suka mencuba sebelum membuat keputusan. Pada saya, ia penting untuk seseorang itu benar-benar mengenal pasti bakat dan minatnya.

“Saya tahu, tidak selamanya akan aktif dalam bidang seni. Justeru, ketika ada peluang inilah saya perlu mencuba apa yang diinginkan sebelum cuma satu saja menjadi pilihan,” katanya mengakui senang memberi komitmen pada kerja berbanding peribadi.

Pernah menyertai uji bakat program realiti TV, Malaysian Idol dan Akademi Fantasia, Awal berkata setakat ini, dia belum memikirkan cinta dan kekasih. Katanya jadual seni amat padat hinggakan hanya 20 peratus saja masanya untuk diri, keluarga dan rakan.

“Rasanya, sekarang saya tidak boleh bercinta. Kerja saya menuntut pengorbanan besar apabila 80 peratus ditumpukan pada karier. Melihatkan keadaan ini, saya fikir ia bukan masa sesuai menjalin kasih dengan insan bernama wanita.

“Bukan saya menolak cinta, tetapi belum lagi ke arah itu. Kalau boleh, saya mahu berjaya dalam karier dan ia satu tuntutan. Bagaimanapun, jodoh adalah ketentuan Tuhan,” katanya terikat penggambaran berlakon drama, A Time For Us dan filem Syurga Cinta.

Menyentuh watak idamannya, Awal berkata dia mengimpikan peluang berlakon watak berat seperti penagih dadah, pembunuh upahan atau perogol bersiri. Namun, sukar untuknya mendapatkan watak itu kerana tidak sesuai dengan karakter diri.

Kata Awal, apabila bertanyakan pengarah, rata-rata mengakui wajahnya tidak sesuai. Andai kata, dia mahu mencuba juga, Awal perlu membuat perubahan diri seperti membela rambut panjang dan menguruskan badan. Jika tidak, lupakan saja.