Tuesday, June 10, 2008

Awal Ashaari Rimas Jadi Black Metal

Awal rimas jadi Black Metal
26-01-2007 01:44:47 PM
Oleh WAHIDA ASRANI

SETELAH selesai disolek untuk penggambaran filem Malaikat Maut, pengacara dan model Awal Ashaari mengeluh rimas dan tidak selesa.

Masakan tidak, daripada imej asalnya yang sering kelihatan stylo, penampilannya diubah kepada imej 'gothic' untuk disesuaikan dengan watak fanatik Black Metal di dalam filem arahan Bade Azmi itu.

"Macam mana perempuan boleh simpan rambut panjang? Rambut saya yang didandan macam ni saja pun saya dah rasa tidak selesa.

"Nak tidur sekejap pun tak boleh, nanti rambut rosak. Tapi, ok juga pakai macam ni sekali-sekala kan," kata Awal sambil ketawa sementara menantikan sesi penggambaran bermula.



Walaupun pada mulanya Awal kelihatan kurang selesa dengan 'perwatakan' barunya itu, selepas seketika dia dilihat sudah boleh menyesuaikan dirinya, malah tidak henti-henti pula merakamkan gambar bersama pelakon Que Haidar.

Di dalam filem bercorak thriller itu, Awal memegang peranan sebagai salah seorang pengikut Black Metal yang sentiasa mengagung-agungkan budaya itu sehingga sanggup memperlekehkan agama.



"Saya dulu selalu kutuk orang yang buat perkara seperti ini. Saya selalu anggap golongan ini hanya ingin cuba tarik perhatian ramai.

"Tapi, bila diberi peluang bawa watak seperti ini dan selepas saya buat kajian sendiri, baru saya sedar golongan ini bukan mencari perhatian umum, tetapi ia sudah jadi satu budaya. Amat membahayakan sebenarnya jika terjebak," ujarnya yang turut bergandingan bersama Que dan Nana ERA.

Aksi 'Black Metal' Awal (Foto The Star oleh Low Lay Phon)

Menurut Awal lagi, walaupun dia hanya melakonkan beberapa adegan saja, tetapi dia tetap merasakan tekanan membawakan watak tersebut kerana ia berbeza dengan peranan lain yang pernah dibawanya sebelum ini.

"Abang Bade berkali-kali cakap dia tidak mahu tengok 'Awal' yang biasa, walaupun hanya enam babak, biar ada impak.

"Dan agak sukar juga sebab dia suruh saya jangan senyum hingga nampakkan lesung pipit saya dalam filem ini memandangkan ini adalah watak jahat. Terpaksalah saya cuba control senyum," tambahnya lagi.

Malaikat Maut berkisarkan kepada tiga cerita yang digabungkan di dalam sebuah filem. Elemen misteri turut dimuatkan, selain kisah kehidupan yang memang berlaku di dalam diri manusia.

Turut berlakon di dalam filem ini adalah bintang-bintang muda seperti Liyana Jasmay, Sabrina Hassan, Raja Farah dan Syarizad.

Semakin laku!

Tidak dinafikan, rezeki awal semakin mencurah-curah setelah menjadi hos program realiti, One In A Million, tahun lalu.

Ekoran prestasinya yang baik, Awal terus disambar oleh stesen TV3 untuk mengendalikan pula program bual bicara Sensasi.

Itu di dalam bidang pengacaraan. Tetapi, nampaknya tahun 2007 ini Awal akan terus menyerlah di dalam bidang lakonan juga apabila setakat ini dia sudah mendapat lima tawaran berlakon filem.

"Saya sendiri tidak sangka dapat banyak tawaran untuk filem. Sedangkan setakat ini, saya hanya berlakon dua buah filem iaitu Diva dan Malaikat Maut dan tidak lama lagi untuk filem arahan Ahmad Idham pula, Impak Maksima.

"Nak kata saya hebat atau popular sangat, mungkin tidak sebab saya pun masih mentah dalam bidang lakonan.

"Rasanya, mungkin penerbit filem sekarang ingin tampilkan ramai muka baru pula dan nasib saya baik kerana mendapat perhatian mereka," ujar Awal yang setakat ini masih belum memberi kata putus untuk kelima-lima tawaran filem yang diterimanya itu.

Menurutnya, semua tawaran yang diterimanya itu melibatkan pengarah-pengarah tersohor negara. Namun begitu, Awal tidak mahu dilihat terlalu 'gelojoh' menerima tawaran-tawaran itu walaupun berpeluang bekerja dengan sutradara hebat.

"Saya amat gembira mendapat kepercayaan untuk berlakon di dalam filem-filem mereka. Setakat ini, saya sudah berpeluang bekerja dengan Aziz M. Othman, Erma Fatima, Bade dan Ahmad Idham pula nanti.

"Saya hanya berpegang kepada prinsip, setiap kerja yang saya buat perlu beri 100 peratus komitmen. Saya tidak mahu ambil semua tawaran tetapi sukar beri komitmen yang baik, tambahan pula saya perlu lihat jadual hosting job saya juga. Jika tidak ada masalah, saya pasti akan terima," kata Awal.

1 comment:

Farehah said...

betol la tu... kalo itu selama ni yg kite nak, np nak sia2kan bile da dpt dlm genggaman...