Friday, July 11, 2008

Karektor Dani Rimaskan Awal

Dipetik dari Mstar Online

JEJAKA ini nampaknya semakin laris. Bidang modeling, pengacaraan dan lakonan semuanya berjaya disusuri Awal Ashaari dengan baiknya.

Malah, tidak salah jika dikatakan bakat yang dimiliknya itu membuatkan nama Awal antara yang berada di tangga teratas berbanding bintang-bintang muda yang lain.

Pencapaian yang diraih jejaka berusia 26 tahun ini bagaimanapun tidak pernah membuatkan dirinya alpa dan mendabik dada.

Akui bukan mudah untuk dirinya sampai ke tahap ini, Awal melihat prestasi karier seninya itu sebagai pembakat semangat untuk dirinya meneruskan perjalanan di dalam industri ini.

Malah, satu demi satu peluang yang ditawarkan kepada dirinya sehingga kini adakalanya membuatkan anak kelahiran Kuala Lumpur ini sukar untuk percaya bahawa impiannya menceburi bidang ini sejak kecil lagi makin menunjukkan tanda-tanda yang cukup positif.

"Saya tidak pernah rasa diri saya sekarang ini sudah boleh dianggap superstar. Memang inilah impian saya sejak dulu dan secara peribadi, saya tidak sangka laluan saya dalam bidang ini diterima dengan baik.

"Apapun, saya anggap ini adalah satu arena yang saya kena terus perjuangkan dan lakukan yang terbaik," ujar Awal yang ditemui pada majlis prebiu filem I'm Not Single di The Mines, baru-baru ini.

Kata jejaka yang kini sudah memiliki butik sendiri secara online di www.mannequeenclothing.blogspot.com ini, dia cukup bangga dengan pencapaian karier seninya yang mana setakat ini dia sudah membintangi enam buah filem dan terbaru, Syurga Cinta yang bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Buat masa ini, Awal sedang menantikan reaksi ramai terhadap filem I'm Not Single arahan dan hasil karya Pierre Andre yang bakal ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan bermula 24 Julai ini.

Bercerita tentang filem tersebut, kata pemegang ijazah Filem dan Televisyen dari Universiti LimKokWing ini, dia membawakan watak sebagai Dani, seorang lelaki yang sukar menerima hakikat bahawa kekasih hatinya dipaksa berkahwin dengan jejaka lain.

"Terus-terang saya katakan, saya agak rimas dengan karektor Dani. Masakan tidak, saya perlu jadi seorang lelaki yang suka merengek dan saya sendiri bila menontonnya rasa menyampah juga.

"Dani tiada sifat ego, walaupun secara fizikalnya nampak gagah, tetapi dia adalah seorang yang sangat sensitif. Saya rasa, apa yang Pierre mahu saya tonjolkan menerusi watak tersebut mungkin 'dapat', kerana saya sendiri memang betul-betul rimas bila tengok karektor seperti itu," tutur Awal.

I'm Not Single mengisahkan tentang Maya (Lisa Surihani) dan Adam (Farid Kamil) yang dipaksa berkahwin pada usia muda kerana perancangan keluarga masing-masing yang bersahabat baik sejak kecil.

Walaupun tiada perasaan cinta dan saling membenci antara satu-sama lain, Adam dan Maya tiada alasan kukuh untuk membantah perkara tersebut walaupun pada masa yang sama, Maya sendiri sudah mempunyai teman lelaki, Dani (Awal Ashaari) dan juga telah merancang untuk berkahwin.

Pelbagai peristiwa lucu dan konflik terjadi pada pasangan ini lebih-lebih lagi apabila Maya meminta untuk diceraikan walaupun ketika itu mereka sudah mula mengenali hati budi masing-masing.

Turut menjayakan filem ke-25 terbitan MIG Production itu ialah orang kuat MIG sendiri, David Teo, Ahmad Idham, Intan Ladyana, Datuk Jalaluddin Hassan dan Cat Farish.

Ditanya mengenai pengalamannya bekerja dengan Pierre, kata Awal, dia tidak menghadapi masalah bekerja dengan pelakon dan pengarah muda itu sepanjang berlangsungnya penggambaran filem tersebut.

"Seronok bekerja dengan dia kerana kami rasa macam bekerja dengan kawan-kawan saja. Tetapi, dia bersikap profesional. Kawan, kawan juga tetapi bila berada di lokasi, dia akan pastikan kerja berjalan lancar.

"Bagusnya bekerja dengan dia ni ialah sebab dia lebih banyak berbincang dengan pelakon-pelakon daripada terus mengarah saja. Pendekatan yang dia gunakan itu membuatkan pelakon-pelakon rasa lebih yakin dengan karektor masing-masing," jelas Awal lagi.

No comments: