Tuesday, September 2, 2008

AWAL SEDIA PIKUL CABARAN MENYANYI DAN MENARI DALAM IMTM

Awal sedia pikul cabaran menyanyi dan menari dalam IMTM
02-09-2008 10:55:56 AM
oleh WAHIDA ASRANI - Mstar Online

BAGAI 'bulan jatuh ke riba' buat pelakon, model dan pengacara kacak ini apabila dia ditawarkan oleh Ahmad Idham untuk membintangi Impak Maksima The Musical (IMTM) yang bakal dipentaskan di Istana Budaya bermula 11 November hingga 22 November depan.

Akhirnya tercapai jua hasrat Awal Ashaari untuk bergelar penyanyi, meskipun ia hanyalah untuk pementasan teater muzikal itu.

Jejaka yang pernah mencuba nasib di dalam Malaysian Idol musim pertama beberapa tahun yang lalu ini akui, tawaran tersebut memang satu peluang keemasan buat dirinya.

Awal gembira diberi peluang membintangi Impak Maksima The Musical

Walaupun begitu, pelakon berusia 26 tahun ini tidak dapat menyangkal perasaan gementarnya apatah lagi dia bukan sahaja perlu berlakon dan memperlihatkan bakat nyanyiannya, tetapi juga perlu menari.

"Saya memang sudah lama simpan cita-cita untuk menyanyi.

"Cuma saya risau juga kerana kali ini bukan saja menyanyi, tetapi perlu menari juga sedangkan saya memang tidak pernah langsung ada asas menari.

"Tetapi saya anggap ini satu cabaran dan saya sedia pikul tanggungjawab yang diberikan oleh Idham. Lagipun, bukan mudah untuk beraksi di pentas Istana Budaya.

"Apa yang boleh saya katakan, saya berjaya mencipta sejarah tersendiri dalam pencapaian karier seni saya kerana saya sudah terlibat di dalam filem, drama dan kini berjaya memasuki teater pula.

"Saya akan cuba lakukan yang terbaik atas bimbingan Idham dan Penolong Pengarah, Zulhuzaimi kerana dia memang lebih arif tentang bidang teater. Dari segi tarian pula, seorang koreografer, Belalang, akan membimbing kami.

"Saya dan pelakon-pelakon lain juga akan berlatih vokal dengan Zaf dan Lah VE tidak lama lagi," ujar Awal pada majlis pelancaran IMTM di Istana Budaya, baru-baru ini.

Setakat ini, selain Awal yang akan memegang watak sebagai Ayie, dua pelakon lagi yang bakal membintangi teater tersebut ialah ialah Jue Aziz (Eva) dan Dynaz (Mimi) manakala Cat Farish bertindak selaku Pengarah Muzik teater tersebut.

Teater muzikal terbitan Excellent Pictures dengan kerjasama IB dan Global Network Entertainment ini secara ringkasnya mengisahkan tentang remaja bernama Ayie bersama dua rakan karibnya yang sentiasa terjebak di dalam sukan permotoran drift dan sering terlibat di dalam perlumbaan haram.

Selain Awal, dua pelakon lagi yang akan menjayakan IMTM ialah Jue Aziz dan Dynaz

Mengulas lanjut tentang persediaannya untuk pementasan tersebut, kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia yakin tempoh tiga bulan latihan yang telah pun bermula kira-kira tiga minggu lalu mampu menyiapkan dirinya untuk teater tersebut.

"Ada juga saya cuba berlatih di rumah. Insyaallah, jika latihan dibuat dengan penuh kesungguhan, saya rasa saya boleh lakukan. Buat masa ini, saya juga kena banyak bersenam untuk tingkatkan stamina.

"Bukan mudah untuk berlakon, menyanyi dan menari pada masa yang sama jika stamina tidak tinggi.

"Malah, sepanjang tiga bulan ini saya memang akan fokuskan kepada teater ini saja dan hanya beberapa hosting jobs," kata Awal yang sedang menantikan tayangan dua buah filem lakonannya iaitu Malaikat Maut dan Syurga Cinta.

Tiket untuk menyaksikan Impak Maksima The Musical ini boleh didapati dengan menghubungi 03-4026 5558. Tiket-tiket berharga RM20, RM30, RM50, RM80 dan RM150.

No comments: