Sunday, July 27, 2008

WATAK IRHAM DIKECAM

PENAMPILAN berjubah, berserban dan bertindik dalam filem Cinta Syurga mengundang padah kepada Awal Ashaari. Sejak gambarnya dengan penampilan itu disiarkan sebuah akhbar (bukan terbitan NSTP), hidup anak muda ini bingit dengan kecaman.

Bukan sekadar panggilan telefon, keadaan dihangatkan lagi dengan kritikan pedas yang menular luas di Internet. Turut terpalit sama nama baik keluarganya.

Bagi mengelak keadaan makin buruk, Awal tampil ke depan menjelaskan kedudukan sebenar. Tegasnya, semua ini salah faham.

Tidak ada sebesar hama pun niatnya mahupun pengarah atau penulis skrip filem menyinggung perasaan masyarakat, apatah lagi memperlekeh agama.

“Penampilan itu sekadar tuntutan watak. Seperti saya jelaskan sebelum ini, watak Irham buta agama. Dari kecil dia menetap di London dan apabila kembali ke tanah air, dia menyahut cabaran rakan memikat gadis kuat pegangan agama lakonan Heliza AF.

“Dalam usaha itu dia berdepan pelbagai cabaran, termasuk mengubah penampilannya. Dalam satu babak dia yang terbiasa dengan cara hidup Barat memakai jubah tetapi masih bertindik kerana tidak tahu hukum hakam.

“Dan, ketika penggambaran babak itu dilakukan ada media datang ke lokasi dan mengambil gambar saya. Sehari selepas gambar berkenaan disiarkan, keluar kontroversi saya jahil agama dan macam-macam lagi tanggapan negatif.

“Ahmad Idham selaku pengarah filem turut berdepan situasi serupa. Tiba-tiba saja perkara ini diperbesar-besarkan sampaikan ibu bapa saya lenguh menjawab pertanyaan saudara mara dan jiran tetangga,” katanya di Balai Berita, baru-baru ini.

Jelas Awal, dia sedar sensitiviti masyarakat tetapi tidak adil kesimpulan dibuat berdasarkan satu gambar. Baginya, ada sebab mengapa dia berpenampilan sebegitu, bukan sekadar suka-suka atau ‘hentam kromo’.

“Sepanjang lebih tiga tahun dalam industri, saya tidak pernah mempersenda agama atau berniat menyinggung perasaan orang ramai.

“Bagi saya, isu ini tidak perlu diperbesar-besarkan. Niat produksi sebenarnya baik, ingin membuka mata penonton bahawa di luar sana ada lagi yang cetek agama sepertimana Irham.

“Penonton akan faham apabila menonton filem ini. Untuk makluman semua, ada dialog peringatan lelaki tidak boleh memakai subang dalam babak itu.

“Sebenarnya saya tidak kisah dikritik, sebaliknya menerima teguran itu dengan terbuka. Namun jauh di sudut hati sedikit kecewa kerana orang dalam industri yang sepatutnya faham situasi ini turut sama menghentam.

“Seingat saya, perkara ini dijelaskan dalam sidang akhbar sewaktu memperkenalkan barisan pelakon Cinta Syurga. Kalau ikutkan, dalam Malaikat Maut pun saya bertindik tapi kali ini lebih sensitif kerana berjubah dan berserban,” katanya memohon pengertian ramai.

Tambah pelakon meningkat naik ini, istilah serik tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Seburuk manapun dikecam, dia pasrah dan melihatnya daripada sudut positif. Baginya sudah lumrah anak seni, pasti ada manis dan pahitnya.

“Seboleh mungkin saya mahu elak kontroversi. Namun apa boleh buat, ada yang cepat melatah lalu menuding jari ke arah saya tanpa mengkaji terlebih dulu. Tindakan mereka seolah-olah sudah membaca skrip filem ini.

“Apapun, diharap dengan penjelasan ini orang tidak tersalah sangka lagi. Sekali lagi ingin saya tegaskan penampilan itu hanya untuk menggambarkan kecetekan ilmu agama seorang remaja.

“Ada mesej yang ingin disampaikan, diharap penonton menerimanya apabila ditayangkan kelak,” katanya yang sekarang berkampung di Filipina selama dua minggu untuk menyambung penggambaran filem Time For Us yang turut dibintangi Jericho Rosales dan Carmen Soo.

AWAL ASHAARI DI MANILA

Awal Ashaari sekarang berada di Manila untuk pengambaran DRAMA A Time For Us. Oleh kerana cuaca buruk, pengambaran terpaksa ditangguhkan. Insyaallah, Awal akan pulang pada hari Sabtu minggu hadapan.

Jangan lupa untuk menonton filem I'm Not Single ya!

Thursday, July 17, 2008

Tuesday, July 15, 2008

AWAL ASHAARI DALAM MAJALAH EH JULAI 2008

AWAL ASHAARI DALAM MAJALAH EH JULAI 2008

Awal Ashaari

Monday, July 14, 2008

I'm Not Single Uji Kematangan Pierre

Kredit : Dipetik dari Utusan Malaysia, 14 Julai 2008

Posted: 13 Jul 2008 01:29 PM CDT

KALI pertama menduduki kerusi pengarah pada usia 21 tahun mengarahkan filem pertamanya, 9 September mengundang pelbagai reaksi. Sudah menjadi adat, ada yang memuji, tidak kurang pula yang mengeji.

Namun, bagi anak muda berjiwa besar ini, dia lebih senang untuk berpegang pada prinsip - baik dijadikan teladan dan yang buruk itu dijadikan sempadan dalam meneruskan cita-citanya menjadi seorang pengarah tersohor satu hari nanti.

Kritikan yang diterima itu juga sebenarnya banyak membantu Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre atau Pierre Andre untuk memperbaiki segala kelemahan dalam 9 September untuk memberikan hasil yang lebih baik menerusi filem kedua arahannya, I'm Not Single (INS) yang akan mula menemui penonton bermula 24 Julai ini.

Menerusi INS, kata anak kacukan Melayu-Serani ini, dia lebih fokus memandangkan konsentrasinya kali ini adalah kepada kerja pengarahan berbanding 9 September menyaksikan dia melakukan semua kerja dalam satu masa.

Meskipun terpaksa melepaskan watak Adam yang dilakonkan oleh Farid Kamil dalam filem INS, hanya kerana mahu menghasilkan karya yang terbaik, dia harus berkorban.

"Sewaktu menulis skrip filem ini, memang saya mahu sangat melakonkan watak itu kerana sedikit sebanyak ia ada persamaan dengan diri saya. Tetapi, dalam masa yang sama, saya tidak mahu peranan itu membuat saya hilang fokus.

"Mahu tidak mahu, saya harus lakukan pengorbanan ini dan apa yang pasti, saya berpuas hati dengan apa yang telah saya persembahkan untuk INS," kata bekas graduan Aswara berusia 23 tahun ini memulakan bicaranya.

Bercerita tentang INS, anak kepada seniwati Khatijah Tan ini memberitahu pendekatan kali ini berbeza dengan 9 September ini apabila INS lebih kemas dan teratur berbanding filem pertamanya yang disifatkannya sebagai sebuah filem komedi kasar.

"Saya mahu pelbagaikan teknik pengarahan saya dan tidak malu untuk saya katakan 9 September, coraknya lebih kepada komedi yang sering ditonjolkan dalam drama mahupun filem Korea.

"Tetapi, kali ini, INS lebih lembut dan saya pasti penonton akan dapat melihat perbezaannya. Malah, kali ini juga saya memperbanyakkan shot berbanding 9 September yang mana shotnya telah ditetapkan sehingga agak menyukarkan saya apabila membuat penyuntingan," tuturnya penuh hemat.

Ditanya idea timbulnya menghasilkan INS, Pierre yang mula mencipta nama menerusi filem Salon ini memberitahu, dia mahu melihat bagaimana anak muda zaman ini berdepan dengan situasi apabila perkahwinan mereka telah diatur oleh keluarga.

"Jadi, dalam filem ini, saya tonjolkan bagaimana permasalahan itu diatasi kerana zaman ini, agak sukar untuk anak muda menerima hakikat apabila perkahwinan mereka diatur," katanya lagi.

Dalam pada itu, jelas Pierre, dia puas menghasilkan skrip sendiri kerana ia menuntut kehendak seperti mana yang dimahukannya.

Mungkin ramai yang tidak tahu, sebelum ini, nama Pierre terpalit dengan lumpur kontroversi apabila skrip hasil tulisannya dikatakan menciplak hasil karya orang lain. Dia menafikan sekeras-keras dakwaan yang disifatkan tidak berasas itu.

"Kadang-kala, ia membuatkan saya menjadi takut untuk menghasilkan skrip lagi kerana bimbang ada orang akan mendakwa skrip itu adalah miliknya.

"Macam INS ini pun, ada orang samakan dengan drama bersiri Indonesia, Kawin Muda lakonan Agnes Monica walhal skrip INS disiapkan terlebih dahulu sebelum drama berkenaan disiarkan tidak berapa lama dulu," jelas Pierre panjang lebar.

Saat ditanya tentang lakonan dua pelakon utama INS iaitu Farid Kamil dan Lisa Surihani yang memegang watak sebagai Adam dan Maya, selaku pengarah, dia berpuas hati dengan dua bintang muda itu yang merealisasikan apa yang diinginkannya.

Tambahan pula, keserasian bersama Farid sudah wujud sekian lama kerana mereka sudah membintangi empat buah filem bersama.

"Agak sukar juga apabila mengarahkan Farid kerana dia jauh lebih senior daripada saya tetapi dia menyakinkan saya, bahawa dia sedia ditegur dan diberi tunjuk ajar. Lisa pula, saya melihat dia seorang pelakon baru yang perlu diberi perhatian.

"Walaupun ada kekurangan dalam dirinya terutama untuk babak yang memerlukan penghayatan, tetapi saya percaya dengan tunjuk ajar, dia boleh pergi jauh. Malah, dia juga senang dibentuk," ujarnya yang sudah pun membintangi 15 buah filem baik watak utama mahupun pembantu.

Saat ditebak dengan pertanyaan seandainya INS akan menerima kritikan yang hebat selepas ini, Pierre dengan optimis memberitahu, dia sudah melakukan yang terbaik dan terpulang kepada penonton untuk menilainya.

"Mereka membayar RM10 untuk menonton dan ia menjadi hak mereka untuk mengkritik dan menjadi hakim dalam menilai hasil kerja saya. Tidak perlu apa yang saya perlu risau kerana saya sedar bukan mudah nak puaskan hati semua orang. Apa yang penting, saya akan terus belajar dan memberikan yang terbaik untuk filem-filem yang akan datang," kata peminat setia Johnny Depp ini yang baru sahaja menyelesaikan filem ketiganya, Jangan Tegur.

Dalam perkembangan lain, Pierre memberitahu dia juga kini sibuk dilokasi filem terbarunya, Teman Selamanya yang membawanya jauh berkelana ke bumi Jakarta.

Mengakui ia merupakan satu pengalaman yang cukup indah serta membuka peluang menjual bakatnya di negara jiran dan banyak yang telah dipelajarinya sepanjang beberapa hari di lokasi.

"Bekerja dengan mereka sememangnya sangat profesional dan kami dilayan sama rata dengan layanan lima bintang. Malah, cara mereka juga bekerja agak pantas namun hasilnya cukup baik," kata Pierre tentang filem usahasama Astro Shaw dan Tarantula Pictures itu lagi.

Merupakan sebuah filem komedi arahan Rako Prijanto yang sebelum ini mengarahkan filem Ungu Violet, selain Pierre yang memegang watak Farid, ia turut dibintangi oleh pelakon jelita, Julia Ziegler dan pelakon komedi terkenal Indonesia iaitu Tora Sudiro.

Bercerita tentang bayaran yang diterimanya untuk filem berkenaan, Pierre memberitahu itu bukanlah yang diutamakannya tetapi lebih kepada pengalaman yang tidak boleh dijual beli.

"Saya tidak begitu mementingkan bayaran apabila kali pertama berlakon filem. Ia juga sama seperti mana saya berlakon filem Salon. Yang saya utamakan adalah pengalaman kerana itu lebih penting dan berharga," jelas Pierre yang dilahirkan pada 17 Mac 1985 itu.

Selain Farid dan Lisa, INS yang menelan belanja RM1.5 juta itu turut dibintangi oleh Awal Ashaari yang memegang watak sebagai Dani, Intan Ladyana (Lisa), Datuk Jalaludin Hassan (Borhan), Hafizuddin Fadzil (Ghani), Aznah Hamid (Zana), Fadilah Mansor (Sue), Ruminah Sidek (Opah) serta kemunculan khas David Teo dan Ahmad Idham.

Friday, July 11, 2008

Karektor Dani Rimaskan Awal

Dipetik dari Mstar Online

JEJAKA ini nampaknya semakin laris. Bidang modeling, pengacaraan dan lakonan semuanya berjaya disusuri Awal Ashaari dengan baiknya.

Malah, tidak salah jika dikatakan bakat yang dimiliknya itu membuatkan nama Awal antara yang berada di tangga teratas berbanding bintang-bintang muda yang lain.

Pencapaian yang diraih jejaka berusia 26 tahun ini bagaimanapun tidak pernah membuatkan dirinya alpa dan mendabik dada.

Akui bukan mudah untuk dirinya sampai ke tahap ini, Awal melihat prestasi karier seninya itu sebagai pembakat semangat untuk dirinya meneruskan perjalanan di dalam industri ini.

Malah, satu demi satu peluang yang ditawarkan kepada dirinya sehingga kini adakalanya membuatkan anak kelahiran Kuala Lumpur ini sukar untuk percaya bahawa impiannya menceburi bidang ini sejak kecil lagi makin menunjukkan tanda-tanda yang cukup positif.

"Saya tidak pernah rasa diri saya sekarang ini sudah boleh dianggap superstar. Memang inilah impian saya sejak dulu dan secara peribadi, saya tidak sangka laluan saya dalam bidang ini diterima dengan baik.

"Apapun, saya anggap ini adalah satu arena yang saya kena terus perjuangkan dan lakukan yang terbaik," ujar Awal yang ditemui pada majlis prebiu filem I'm Not Single di The Mines, baru-baru ini.

Kata jejaka yang kini sudah memiliki butik sendiri secara online di www.mannequeenclothing.blogspot.com ini, dia cukup bangga dengan pencapaian karier seninya yang mana setakat ini dia sudah membintangi enam buah filem dan terbaru, Syurga Cinta yang bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Buat masa ini, Awal sedang menantikan reaksi ramai terhadap filem I'm Not Single arahan dan hasil karya Pierre Andre yang bakal ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan bermula 24 Julai ini.

Bercerita tentang filem tersebut, kata pemegang ijazah Filem dan Televisyen dari Universiti LimKokWing ini, dia membawakan watak sebagai Dani, seorang lelaki yang sukar menerima hakikat bahawa kekasih hatinya dipaksa berkahwin dengan jejaka lain.

"Terus-terang saya katakan, saya agak rimas dengan karektor Dani. Masakan tidak, saya perlu jadi seorang lelaki yang suka merengek dan saya sendiri bila menontonnya rasa menyampah juga.

"Dani tiada sifat ego, walaupun secara fizikalnya nampak gagah, tetapi dia adalah seorang yang sangat sensitif. Saya rasa, apa yang Pierre mahu saya tonjolkan menerusi watak tersebut mungkin 'dapat', kerana saya sendiri memang betul-betul rimas bila tengok karektor seperti itu," tutur Awal.

I'm Not Single mengisahkan tentang Maya (Lisa Surihani) dan Adam (Farid Kamil) yang dipaksa berkahwin pada usia muda kerana perancangan keluarga masing-masing yang bersahabat baik sejak kecil.

Walaupun tiada perasaan cinta dan saling membenci antara satu-sama lain, Adam dan Maya tiada alasan kukuh untuk membantah perkara tersebut walaupun pada masa yang sama, Maya sendiri sudah mempunyai teman lelaki, Dani (Awal Ashaari) dan juga telah merancang untuk berkahwin.

Pelbagai peristiwa lucu dan konflik terjadi pada pasangan ini lebih-lebih lagi apabila Maya meminta untuk diceraikan walaupun ketika itu mereka sudah mula mengenali hati budi masing-masing.

Turut menjayakan filem ke-25 terbitan MIG Production itu ialah orang kuat MIG sendiri, David Teo, Ahmad Idham, Intan Ladyana, Datuk Jalaluddin Hassan dan Cat Farish.

Ditanya mengenai pengalamannya bekerja dengan Pierre, kata Awal, dia tidak menghadapi masalah bekerja dengan pelakon dan pengarah muda itu sepanjang berlangsungnya penggambaran filem tersebut.

"Seronok bekerja dengan dia kerana kami rasa macam bekerja dengan kawan-kawan saja. Tetapi, dia bersikap profesional. Kawan, kawan juga tetapi bila berada di lokasi, dia akan pastikan kerja berjalan lancar.

"Bagusnya bekerja dengan dia ni ialah sebab dia lebih banyak berbincang dengan pelakon-pelakon daripada terus mengarah saja. Pendekatan yang dia gunakan itu membuatkan pelakon-pelakon rasa lebih yakin dengan karektor masing-masing," jelas Awal lagi.

Tuesday, July 8, 2008

Sekitar Majlis Pra Tonton Media Filem I'm Not Single

Hujan renyai-renyai dan jalan yang sesak dengan kenderaan menjadikan pagi dingin tadi antara yang ditunggu oleh para media untuk menonton buat pertama kalinya filem I'm Not Single. Segala halangan tidak menghalang bagi mereka untuk menghadiri majlis yang dianjurkan oleh Metrowealth ini walaupun ada yang tiba agak lewat.


Pembaca Budiey.com sedang mendaftar nama.



Antara pembaca yang hadir. Harap kalian semuanya terhibur dan enjoy dengan filem ini! Terima kasih sebab sudi datang ya!


Khususnya saat ini juga antara yang dinantikan oleh 20 orang pembaca Sensasi Selebriti yang berjaya mendapat jemputan turut sama memenuhi tempat duduk panggung TGV, Pusat Membelah Belah The Mines Sri Kembangan.



Seawal jam 9.30 pagi lagi, ada pembaca yang sudah sampai. Walaupun, majlis bermula agak lewat atas masalah teknikal, namun rata-rata pembaca yang Budiey temui selepas sahaja majlis prebiu berlangsung berpuas hati dengan filem ini. Cukup menghiburkan dan menyentuh perasaan. Itu kata mereka. Tidak teragak-agak ada yang memberikan 4/5 bintang untuk filem ini.


Pembaca Sensasi Selebriti bergambar bersama Farid Kamil.


Apa yang Budiey boleh katakan, filem I'm Not Single lebih baik digarap oleh Pierre Andre berbanding filem pertama arahannya, 9 September. Beberapa kesilapan dan kekurangan dalam 9 September telah diperkemaskan menjadikan plot lebih kemas, penceritaan lebih baik dan mutu persembahan juga lebih mantap. Budiey nak ucapkan tahniah buat Pierre Andre atas usaha memberikan yang terbaik buat peminat.

Budiey juga ingin mengucap terima kasih kepada semua pembaca yang melapangkan masa menghadiri majlis prebiu kali ini. Jangan lupa untuk menyertainya lagi pada masa akan datang sekiranya ada ruang tempat duduk untuk pembaca Budiey.com. Terima kasih Metrowealth atas kerjasama dan sumbangan ini.

Selain tetamu, pelakon utama yang turut hadir ialah Lisa Surihani, Farid Kamil, Awal Ashaari, Intan Ladyana, Ahmad Idham dan David Teo.


Cerita Pierre Andre penuh falsafah hidup dan nostalgik.


Pengarah filem ini, Pierre Andre bercerita panjang juga ketika sesi ucapannya. Menyentuh tentang sejarah dan kenangan manis ketika mana bermulanya titik minat dalam menghasilkan filem.

Dari minat dari bangku sekolah sehinggalah berjaya menghasilkan sebuah filem pendek dan pada hari ini telah dua filem menemui peminat... nampaknya Pierre mahu mencipta sejarah dalam dunia perfileman tanahair.



Ucapan David Teo selaku penerbit filem ini memang tidak sah kalau tidak diselitkan jenaka spontannya. Katanya, dalam filem ini, David Teo juga turut berlakon sebagai jurujual barangan jualan langsung dan menjadi bos kepada Ahmad (Ahmad Idham). Sebenarnya, kisah ini dipetik dari kisah hidup David yang dulunya pernah menjadi bisnesman jualan langsung.

Tidak banyak babak untuk watak David... cuma 11 babak sahaja. Yang kelakarnya, setelah menonton filem ini, nampaknya David begitu bersahaja dalam setiap lakonannya dan ini kekuatan untuk mengambil perhatian penonton dengan mesej dan nilai positif dalam setiap babak.

Kalau anda mahu menjadi bisnesman berjaya, tontonlah filem ini kerana banyak tips dan petua diberikan secara motivasi melalui watak David. Memang gelak habislah!


Dakmie, penyanyi lagu tema dan 4 buah lagu tema filem ini juga turut hadir untuk menyanyikan secara live dua buah lagu untuk hadirin.


Dengan menelan kos produksi dan promosi sebanyak RM1.5 juta, filem ini nampak menarik dengan latar belakang Bukit Fraser, Pahang dan sekitar Lembah Klang. Turut berlakon dalam filem ini ialah Cat Farish, Dato' Jalaluddin Hassan, Fadhilah Mansor, Hafizuddin Fadzil, Aznah Hamid dan Rusminah Sidek.

Filem ini akan ditayangkan di pawagam berdekatan anda mulai 24 Julai 2008.


Cinta tiga segi



Intan Ladyana sebagai Lisa



Antara tetamu yang hadir, pelakon Ahmad Tarmimi Serigar bersama isteri.



Pengarah fotografi, Abang Indra Che Muda.



Dua Pak Lawak



Pierre & Lisa Surihani