Thursday, September 4, 2008

UJIAN GETIR BUAT AWAL

Drama 26 episod yang dihasilkan dengan kerjasama dua negara iaitu Malaysia menerusi Double Vision dan Filipina (ABS-CBN) itu dibintangi pelakon berbakat seperti Heliza AF, Carmen Soo dan Louisa Chong selain dua bintang Filipina, Jericho Rosales dan Kristine Heayes. Lokasi penggambaran membabitkan kedua-dua negara.

Menceritakan detik penggambaran drama itu, Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari berkata ia pengalaman sukar dilupakan.

"Saya menempuh pengalaman ngeri ketika penggambaran berlangsung 28 jam tanpa henti di Filipina. Bayangkanlah dalam masa tiga minggu saya mampu menghabiskan penggambaran sebanyak 60 babak di sana. Lebih 200 kru teknikal dan produksi bertungkus-lumus sepanjang penggambaran berlangsung.

"Sebelum ke sana saya sudah menyiapkan 30 babak lakonan. Tidak timbul banyak masalah walaupun adakala kesukaran untuk berinteraksi. Drama ini menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris berselang-seli bahasa Tagalog dan Inggeris. Jika tiada aral drama ini akan disiarkan di RTM penghujung tahun ini," katanya.

Bercerita lanjut mengenai watak dalam drama itu, teraju utama drama siri Impak Maksima yang membawa watak Amir itu berkata dia seorang ahli perniagaan berjaya yang cuba menawan hati perempuan yang diminatinya namun terpaksa bersaing dengan lelaki lain (Jericho). Amir sangat romantik dan sanggup melakukan apa saja kerana cinta.

Di samping drama itu, dia juga dijangka tampil dalam telefilem, Hati Seorang Lelaki arahan Ahmad Idham. Selain itu program majalah W yang disiarkan setiap Rabu di TV3 meneruskan siarannya untuk musim kedua dan dijangka ditayangkan pada awal tahun depan.

Awal yang menyerlah bakat pengacaraannya menerusi program realiti One In A Million (OIAM) ditemui pada majlis sidang media pelantikannya sebagai duta kad keahlian Dot Red buat tahun kedua di Red Box Ria, Sogo, baru-baru ini. Turut hadir Pengarah Urusannya, Valerie Choo.

Pada majlis itu, pihak penganjur turut memperkenalkan beberapa juadah makanan sempena Ramadan di Red Box, pelancaran Tabung derma untuk Rumah Anak Yatim selain meraikan majlis hari jadi Awal.

Mengulas pelantikan sebagai duta Dot Red itu, Awal berkata dia cukup terharu dan berterima kasih kepada pihak penganjur kerana masih menaruh kepercayaan serta memberi ruang kepadanya menjadi duta kad keahlian itu.

"Kad keahlian ini sungguh praktikal. Ia bukan saja digunakan untuk berhibur, malah membeli barang dan menebus mata ganjaran. Penggunaannya juga semakin meluas," kata Awal.

Dalam perkembangan lain, Awal dijangka meluaskan perniagaan pakaian bersama rakan artis, Dynaz, sepanjang Ramadan ini. Awal yang turut berkecimpung dalam perniagaan butik secara online sebelum ini akan menjual batik shifon sesuai menyambut perayaan di butik pakaian yang beroperasi di Hartamas selain menjual pakaian kasual di bazar Ramadan sekitar The Curve.

Tuesday, September 2, 2008

DRIFT KERETA DI PENTAS TEATER?

SUKAR untuk membayangkan, bagaimana adegan-adegan kereta lumba melakukan potongan tajam dan aksi dalam sebuah pementasan teater di atas Panggung Sari di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur?

Persoalan dan gambaran itu tentunya menarik perhatian ramai di mana ia akan dipertontonkan menerusi pementasan teater Impak Maksima The Musical (IMTM) yang akan dipersembahkan di IB mulai 11 hingga 22 November ini.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani berkata, pementasan dengan konsep teater muzikal seumpama itu merupakan kali pertama dibawakan ke pentas teater yang bertaraf dunia itu.

Katanya, selepas hampir sembilan tahun tidak ada penerbit termasuklah penaja yang berani tampil untuk mengadakan pementasan di IB. Tetapi akhirnya ada juga syarikat yang ada idea seperti itu untuk mementaskan karya mereka di IB.

“Ini juga merupakan kali pertama di IB apabila ada syarikat seperti Goodyear yang sanggup tampil menaja adegan-adegan drift dalam pementasan teater muzikal ini. Sebabnya, selama ini IB pernah mengeluarkan perbelanjaan ratusan ribu ringgit untuk mengadakan sesuatu pementasan teater.

“Sebelum ini P. Ramlee The Musical membelanjakan hampir RM250,000 untuk tujuan promosi dan sebagainya,” katanya pada sidang media IMTM di IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Mohamed Juhari, beliau menyambut baik idea pengarah IMTM iaitu Ahmad Idham yang berani mencuba mengangkat karya itu yang asalnya daripada versi filem dan drama televisyen (TV) kepada genre teater.

Malah, beliau yakin IMTM yang sudah mencipta nama di layar perak dan kaca TV mengisahkan kehidupan muda-mudi menaiki kereta lumba mampu menarik perhatian ramai penonton apabila ia dipentaskan di IB kelak.

Tambahnya, pada April lalu, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyuarakan supaya IB mempelbagaikan, sekali gus mencari kelainan dalam pementasan teater di IB.

“Sebelum ini IB ada juga pentaskan teater untuk remaja tetapi sambutannya masih belum memuaskan. Kebetulan baru-baru ini saya berjumpa Ahmad Idham yang saya kenali sejak 1986 dan dia usulkan kepada saya idea ini.

“Saya yakin para remaja akan menggemari teater muzikal ini. IB ambil naskhah ini kerana banyak adegan yang menarik dan ada mesej-mesej tersendiri serta tidak merosakkan moral para penonton,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mohamed Juhari tidak menafikan bahawa IB telah memperuntukkan sekitar RM50,000 bagi mengubah suai pentas Panggung Sari bagi membolehkan adegan drift kereta di situ dapat dipersembahkan kepada para penonton.

“Ia tidak merugikan IB kerana kemudahan dan set pentas tambahan yang akan kami bina itu boleh digunakan semula pada masa depan. Malah, jangan bimbang kerana kereta yang sedang drift atas pentas tidak akan melantun ke arah penonton,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Idham selaku pengarah pula yakin dan mampu untuk menampilkan adegan-adegan drift kereta di atas pentas IB dengan adanya bantuan tenaga pakar termasuklah daripada syarikat pengeluar tayar Goodyear.

“Saya akan pastikan ada adegan drift kereta lumba atas pentas IB. Ini kerana drift dan rempit merupakan ‘jantung’ IMTM. Itu adalah cabaran utama kami. Saya harap para penonton akan dapat merasai pengalaman dan kepuasan menonton adegan-adegan seperti ini,” katanya.

Selain Ahmad Idham, IMTM turut dibantu oleh Zul Huzaimy Marzuki selaku Penolong Pengarah, Den Wahab (Penyelaras), Cat Farish (Pengarah Muzik), serta diterajui oleh tiga bintang utamanya iaitu Awal Ashaari, Dynaz dan Jue Aziz.

Selain jalan cerita baru, Cat Farish turut diberi tanggungjawab mencipta lagu-lagu yang sesuai termasuklah dari genre rock, hip hop, pop, swing dan rap untuk pementasan tersebut.

“Ada lagu baru dan lama yang dimuatkan dalam IMTM di mana ia sesuai dengan jalan cerita pementasan teater muzikal ini. Cuma untuk versi teater ini saya akan mengubah lagu-lagu yang dinyanyikan oleh semua pelakon termasuklah dalam konsep dialog berlagu,” ujarnya.

IMTM yang akan dibantu oleh Belalang sebagai koreografer utama pementasan ini mengenakan tiket-tiket berharga RM20, RM30, RM50, RM80 dan RM150.

Teater muzikal ini mengisahkan tentang seorang remaja bernama Ayie bersama dua rakan karibnya, Loyai dan Amran yang terbabit dalam sukan kereta haram. Selain berlumba kereta, mereka sering terbabit dalam pergaduhan dan pertaruhan dengan para pelumba lain.

Pakej Berbuka Puasa di Pusat Karaoke Red Box Ria

Red Box Buffet Ramadhan


Sempena kedatangan bulan Ramadan ini, pusat karaoke Red Box Ria akan menyajikan sajian istimewa berbuka puasa hanya RM32++ seorang. Menampilkan sajian sentuhan muhibbah, pelanggan boleh menikmati keenakan masakan daging rendang minang, rebung dengan perut lemak cili api, tempoyak ikan senagin, ayam kelia, kepah dengan sos cream cili, seam seabass dengan sos nyonya, kerabu sotong nangka muda, udang lemon salad, udang bersama kari leaf egg yolk, chicken whole leg with percik dan banyak lagi.


Awal Ashaari, duta dan jurucakap Red Box memperkenalkan juadah kepada media.


Juga disediakan makanan barat seperti lamb rack shoulder with mint souce, beef escolape dan lain-lain.

Sajian pembuka selera seperti keropok, so'on jawa styled salad, bergedil, mixed grill salad dan banyak lagi turut disediakan.

Selain itu, pengunjung juga dapat menikmati pelbagai hidangan pencuci mulut seperti air batu campur, sweet dessert, cendol jagung dan pelbagai jenis kuih muih tradisi Melayu yang menjadi kemestian semasa berbuka puasa.

Penggunaan bilik khas untuk pengunjung selama 3 jam pasti menjadikan waktu berbuka puasa anda lebih selesa.

Red Box menawarkan promosi pakej keluarga dan berkumpulan yang menarik. Pakej untuk 5 orang dikenakan hanya RM170++, 10 orang harganya RM340++, harga pakej 15 orang hanya pada RM490++ dan harga pakej untuk 8 orang hanya pada RM280++ yang begitu menjimatkan.

Promosi ini berlangsung sepanjang bulan Ramadan bermula 1 September 2008 setiap hari bermula jam 6.30 petang sehingga 10 malam. Sebarang pertanyaan atau penempahan, sila hubungi Red Box Ria di talian 03 26947788 atau layari www.redbox.com.my

Kemudahan surau terdapat di tingkat bawah bangunan Sogo untuk mereka menunaikan solat fardhu.

Kunjungi:
Red Box Ria SOGO,
Tingkat 8, KL Sogo, Kuala Lumpur.







AWAL SEDIA PIKUL CABARAN MENYANYI DAN MENARI DALAM IMTM

Awal sedia pikul cabaran menyanyi dan menari dalam IMTM
02-09-2008 10:55:56 AM
oleh WAHIDA ASRANI - Mstar Online

BAGAI 'bulan jatuh ke riba' buat pelakon, model dan pengacara kacak ini apabila dia ditawarkan oleh Ahmad Idham untuk membintangi Impak Maksima The Musical (IMTM) yang bakal dipentaskan di Istana Budaya bermula 11 November hingga 22 November depan.

Akhirnya tercapai jua hasrat Awal Ashaari untuk bergelar penyanyi, meskipun ia hanyalah untuk pementasan teater muzikal itu.

Jejaka yang pernah mencuba nasib di dalam Malaysian Idol musim pertama beberapa tahun yang lalu ini akui, tawaran tersebut memang satu peluang keemasan buat dirinya.

Awal gembira diberi peluang membintangi Impak Maksima The Musical

Walaupun begitu, pelakon berusia 26 tahun ini tidak dapat menyangkal perasaan gementarnya apatah lagi dia bukan sahaja perlu berlakon dan memperlihatkan bakat nyanyiannya, tetapi juga perlu menari.

"Saya memang sudah lama simpan cita-cita untuk menyanyi.

"Cuma saya risau juga kerana kali ini bukan saja menyanyi, tetapi perlu menari juga sedangkan saya memang tidak pernah langsung ada asas menari.

"Tetapi saya anggap ini satu cabaran dan saya sedia pikul tanggungjawab yang diberikan oleh Idham. Lagipun, bukan mudah untuk beraksi di pentas Istana Budaya.

"Apa yang boleh saya katakan, saya berjaya mencipta sejarah tersendiri dalam pencapaian karier seni saya kerana saya sudah terlibat di dalam filem, drama dan kini berjaya memasuki teater pula.

"Saya akan cuba lakukan yang terbaik atas bimbingan Idham dan Penolong Pengarah, Zulhuzaimi kerana dia memang lebih arif tentang bidang teater. Dari segi tarian pula, seorang koreografer, Belalang, akan membimbing kami.

"Saya dan pelakon-pelakon lain juga akan berlatih vokal dengan Zaf dan Lah VE tidak lama lagi," ujar Awal pada majlis pelancaran IMTM di Istana Budaya, baru-baru ini.

Setakat ini, selain Awal yang akan memegang watak sebagai Ayie, dua pelakon lagi yang bakal membintangi teater tersebut ialah ialah Jue Aziz (Eva) dan Dynaz (Mimi) manakala Cat Farish bertindak selaku Pengarah Muzik teater tersebut.

Teater muzikal terbitan Excellent Pictures dengan kerjasama IB dan Global Network Entertainment ini secara ringkasnya mengisahkan tentang remaja bernama Ayie bersama dua rakan karibnya yang sentiasa terjebak di dalam sukan permotoran drift dan sering terlibat di dalam perlumbaan haram.

Selain Awal, dua pelakon lagi yang akan menjayakan IMTM ialah Jue Aziz dan Dynaz

Mengulas lanjut tentang persediaannya untuk pementasan tersebut, kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia yakin tempoh tiga bulan latihan yang telah pun bermula kira-kira tiga minggu lalu mampu menyiapkan dirinya untuk teater tersebut.

"Ada juga saya cuba berlatih di rumah. Insyaallah, jika latihan dibuat dengan penuh kesungguhan, saya rasa saya boleh lakukan. Buat masa ini, saya juga kena banyak bersenam untuk tingkatkan stamina.

"Bukan mudah untuk berlakon, menyanyi dan menari pada masa yang sama jika stamina tidak tinggi.

"Malah, sepanjang tiga bulan ini saya memang akan fokuskan kepada teater ini saja dan hanya beberapa hosting jobs," kata Awal yang sedang menantikan tayangan dua buah filem lakonannya iaitu Malaikat Maut dan Syurga Cinta.

Tiket untuk menyaksikan Impak Maksima The Musical ini boleh didapati dengan menghubungi 03-4026 5558. Tiket-tiket berharga RM20, RM30, RM50, RM80 dan RM150.